Saturday, October 2, 2010

Sayonara Jahiliyyah

Sayonara Jahiliyyah banyak membincangkan tentang keperluan untuk setiap individu Muslim meninggalkan apa yang dimaksudkan dengan Jahiliyyah. Apakah itu Jahiliyyah? Jahiliyyah merupakan segala perkara yang datang bukan dari Islam, tidak bersifat Islam dan bertentangan dengan syariat Islam. Untuk memudahkan pemahaman para pembaca, saya ingin membuat sebuah perbandingan, perbandingan antara kasih sayang seorang anak yang beragama Islam terhadap ibunya dengan seseorang yang percaya akan ideologi atheist yang turut kasih dan sayang akan ibunya. Persoalannya di sini, apakah beza kedua-dua individu ini? Adakah sama nilai kasih sayang terhadap ibu yang ditekankan di dalam Islam dan juga nilai kasih sayang terhadap ibu bagi insan yang bukan Muslim?

Di sinilah ditekankan tentang maksud yang lebih mendalam tentang syahadah.

أشهد أن لا إله إلاَّ الله و أشهد أن محمد رسول الل

Sesungguhnya, syahadah bermaksud tiada Illah selain Allah dan Nabi Muhammad Rasul Allah. Apakah itu Illah? Illah bermaksud sembahan. Maka, bagi seorang Muslim yang sejati, tidak seharusnya ada suatu entiti yang lebih agung di dalam hidupnya melainkan Allah. Seorang Muslim diharamkan menyembah apa-apa selain Allah. Setiap ibadat adalah haram melainkan ibadat hanya kepada Allah SWT. Tidak kira dalam bentuk apa sekali pun entiti itu; ideologi (komunisme, fasisme, nasionalisme), manusia (kekasih, ibu bapa, artis pujaan) dan harta, semua itu dilarang daripada dijadikan Illah di dalam kehidupan individu Muslim.

Menjawab persoalan yang diajukan sebentar tadi, sesungguhnya kasih sayang terhadap ibu atas dasar membalas jasa ibu semata-mata bertentangan dengan hukum Islam kerana ianya bagaikan menjadikan ibu sebagai Illah dalam kehidupan. Namun, Islam tidak pernah menganjurkan sesuatu yang bertentangan dengan fitrah kejadian manusia. Maka, dalam hal ini Islam mewajibkan setiap penganutnya untuk berbuat-baik kepada ibu bapa dengan bersandarkan niat untuk mencari keredhaan Allah, dalam masa yang sama membalas jasa ibu yang melahirkan dan membesarkan kita. Ini merupakan satu contoh yang ringkas bahawa setiap apa yang dilakukan oleh seorang individu Muslim haruslah bersandarkan kepada mencari keredhaan Allah.

Konklusinya, untuk mencapai situasi di mana kita mampu untuk meninggalkan segala nilai-nilai jahiliyyah di dalam kehidupan kita, setiap perkara yang dilakukan; bekerja, belajar, bersukan, berhibur dan berehat, semua itu haruslah disandarkan kepada untuk mencari keredhaan Allah.