Saturday, August 16, 2008

Sya'ban, bulan Rasulullah SAW

Salam muhibbah pembuka kata,
Harap berbahagia kita bersama,
Bulan Rasulullah meninggalkan kita,
Ramadhan Al-Mubarak kian menjelma.

Masya Allah. Dalam tempoh dua minggu lagi kita akan bertemu dengan Ramadhan Al-Mubarak. Subhanallah. Semoga Allah memanjangkan umur kita agar kita dapat menjalani bulan Ramadhan dengan penuh hikmah. Insya Allah.

Sayu rasanya hati bila memikirkan tentang diri ini. Sepanjang tempoh setahun selepas berakhirnya Ramadhan tahun yang sudah, tidak terkira rasanye dosa yang sudah dilakukan. Hanya pengampunan dari-Mu Tuhan yang aku harapkan. Semoga bulan penuh keberkatan ini menjadi titik tamat kepada segala kemungkaran yang pernah aku lakukan sebelum ini dan permulaan kepada segala amal sama ada yang fardhu atau pun sunat yang sering kali diriku yang hina lagi keji ini pernah tinggalkan sama ada secara sengaja atau pun tidak. Astaghfirullah.

Ramadhan kali ini ku harapkan akan membawa seribu pengertian yang akan mengubah diriku ke arah yang lebih baik. Aku memohon pengampunan dari-Mu Tuhan dalam menjalani bulan penuh makna ini. Semoga amalanku pada tahun yang sudah dapat diteruskan dengan jayanya pada tahun ini. Khatam Al-Quran sekurang-kurangnya sekali, tidak terlepas solat sunat Tarawikh walaupun sehari, mengerjakan solat sunat tahajjud pada setiap dini hari, tidak terlepas bersahur walaupun sehari dan yang paling utama dapat mengerjakan ibadah puasa dalam bulan Ramadhan dengan sempurna selama 30 hari. Semoga Allah SWT memberikanku kekuatan dari segi rohani dan jasmani untuk mengerjakan semua amal ini. Insya Allah.

Dengan peluang yang ada di sini, ingin diri ini menyentuh isu mengenai nisfu Sya'ban. Tertakluk di dalam kategori bid'ah kepada sesiapa yang mengerjakan solat sunat malam nisfu Sya'ban. Maka kita tidak patut melakukannya. Walau bagaimanapun, kita digalakkan untuk mengerjakan solat sunat seperti solat sunat tahajjud, witir, istikharah, hajat dan tasbih.

Selain itu, di sini juga ingin ditekankan bahawa Rasulullah SAW tidak pernah secara khusus menyatakan bahawa 15 Sya'ban sebagai hari yang disunatkan berpuasa. Namun Baginda SAW telah berpuasa sebanyak mungkin pada bulan Sya'ban yang digelar bulan Rasulullah SAW seperti yang dinyatakan oleh Aisyah RA:

"Aku tidak pernah melihat Nabi SAW berpuasa sepanjang bulan kecuali pada bulan Ramadhan. Aku juga tidak pernah melihat Baginda berpuasa secara kerap di dalam bulan lain kecuali di dalam bulan Sya'ban"
-Sahîh Bukhari dan Muslim-

Friday, August 15, 2008

19 Keistimewaan Wanita & 6 Golongan Wanita Malang.


19 KEISTIMEWAAN WANITA

1. Doa wanita itu lebih makbul daripada lelaki kerana sifat penyayang yang lebih kuat daripada lelaki. Ketika ditanya kepada Rasulullah SAW akan hal tersebut, jawab baginda , "Ibu lebih penyayang daripada bapa dan doa orang yang penyayang tidak akan sia-sia."

2. Wanita yang solehah (baik) itu lebih baik daripada 1000 lelaki yang soleh.

3. Barangsiapa yang menggembirakan anak perempuannya, darjatnya seumpama orang yang sentiasa menangis kerana takutkan Allah . Dan orang yang takutkan Allah SWT akan diharamkan api neraka ke atas tubuhnya.

4. Wanita yang tinggal bersama anak-anaknya akan tinggal bersama aku (Rasulullah SAW) di dalam syurga.

5. Barangsiapa membawa hadiah (barang makanan dari pasar ke rumah lalu diberikan kepada keluarganya) maka pahalanya seperti melakukan amalan bersedekah. Hendaklah mendahulukan anak perempuan daripada anak lelaki. Maka barangsiapa yang menyukakan anak perempuan seolah-olah dia memerdekakan anak Nabi Ismail.

6. Syurga itu di bawah telapak kaki ibu.

7. Barangsiapa mempunyai tiga anak perempuan atau tiga saudara perempuan atau dua anak perempuan atau dua saudara perempuan lalu dia bersikap ihsan dalam pergaulan dengan mereka dan mendidik mereka dengan penuh rasa takwa serta sikap bertanggungjawab, maka baginya adalah syurga.

8. Apabila memanggil akan dirimu dua orang ibu bapamu, maka jawablah panggilan ibumu terlebih dahulu.

9. Daripada Aisyah RA "Barangsiapa yang diuji dengan sesuatu daripada anak-anak perempuannya lalu dia berbuat baik kepada mereka, maka mereka akan menjadi penghalang baginya daripada api neraka.

10. Wanita yang taat berkhidmat kepada suaminya akan tertutuplah pintu-pintu neraka dan terbuka pintu-pintu syurga. Masuklah dari mana-mana pun pintu yang dia kehendaki dengan tidak dihisab.

11. Wanita yang taat pada suaminya, maka semua ikan-ikan di laut, burung di udara, malaikat di langit, matahari dan bulan semua beristighfar baginya selama mana dia taat kepada suaminya serta menjaga solat dan puasanya.

12. Aisyah RA berkata, "Aku bertanya kepada Rasulullah, siapakah yang lebih besar haknya terhadap wanita?" Jawab Rasulullah SAW "Suaminya." "Siapa pula berhak terhadap lelaki?" Jawab Rasulullah SAW, "Ibunya."

13. Perempuan apabila sembahyang lima waktu, puasa di bulan Ramadhan, memelihara kehormatannya serta kepada suaminya, masuklah dia dari pintu syurga mana sahaja yang dikehendaki.

14. Tiap perempuan yang menolong suaminya dalam urusan agama, maka Allah SWT memasukkan dia ke dalam syurga terlebih dahulu daripada suaminya (10,000 tahun).

15. Apabila seseorang perempuan mengandung janin dalam rahimnya, maka beristighfarlah para malaikat untuknya. Allah SWT mencatatkan baginya setiap hari dengan 1,000 kebajikan dan menghapuskan darinya 1,000 kejahatan.

16. Apabila seseorang perempuan mulai sakit hendak bersalin, maka Allah SWT mencatatkan baginya pahala orang yang berjihad pada jalan Allah.

17. Apabila seseorang perempuan melahirkan anak, keluarlah dia dari dosa-dosa seperti keadaan ibunya melahirkannya.

18. Apabila telah lahir anak lalu disusui, maka bagi ibu itu setiap satu tegukan daripada susunya diberi satu kebajikan.

19. Apabila semalaman seorang ibu tidak tidur dan memelihara anaknya yang sakit, maka Allah SWT memberinya pahala seperti memerdekakan 70 orang hamba dengan ikhlas untuk membela agama Allah SWT.


6 JENIS WANITA MALANG

Jangan engkau kahwini wanita yang enam, jangan yang Ananah, yang Mananah, dan yang Hananah, dan jangan engkau kahwini yang Hadaqah, yang Baraqah dan yang Syadaqah.

Wanita Ananah: banyak mengeluh dan mengadu dan tiap saat memperalatkan sakit atau buat-buat sakit.

Wanita Mananah: suka mengungkit-ungkit terhadap suami. Wanita ini sering menyatakan, "Aku membuat itu keranamu."

Wanita Hananah: menyatakan kasih sayangnya kepada suaminya yang lain, yang dikahwininya sebelum ini atau kepada anaknya dari suami yang lain.

Wanita Hadaqah: melemparkan pandangan dan matanya pada tiap sesuatu, lalu menyatakan keinginannya untuk memiliki barang itu dan memaksa suaminya untuk membelinya.

Wanita Baraqah: ada 2 makna, pertama yang sepanjang hari mengilatkan dan menghias mukanya, kedua dia marah ketika makan dan tidak mahu makan kecuali sendirian dan diasingkannya bahagianya.

Wanita Syadaqah: banyak cakap tidak menentu lagi bising.

Dicatat oleh Imam Al-Ghazalli.

TUC dan kisah hidupku...

Salam pendahulu kata. Sebulan sudah berlalu ketika pertama kali aku menjejakkan kakiku ke TUC. Tatkala ini, pandanganku terhadap TUC masih lagi kabur. Walaupun keadaan semuanya boleh dikatakan memuaskan; penempatan pelajar, rakan serumah, rakan sekelas, makanan dan sebagainya, namun aku harus mengakui bahawa sukar untukku menyesuaikan diri dalam situasi yang amat asing bagiku ini. Bagiku, sudah tiba masanya untuk diriku berubah bukan mengikut keadaan dan bukan lagi mnyesuaikan diri...

Aku datang ke TUC dengan membawa reputasi tinggi. Dengan azam yang membara, aku ingin mengekalkan kecemerlangan yang pernah aku lakarkan di Semerbak dan TGB. Dengan jangkaan tinggi dan harapan besar yang terpikul di atas bahuku, aku memulakan hidup baru di TUC. Namun sejarah mengatakan bahawa setiap insan yang berjaya pasti pernah atau akan bertemu dengan saat di mana dia menghadapi kesusahan dan kegagalan. Aku yakin bahawa inilah masanya aku berhadapan dengan situasi kesusahan dan kegagalan tersebut.

"Ukuran sebenar seorang lelaki bukanlah bagaimana dia menghadapi situasi senang dan selesa tetapi bagaimana dia berdiri semasa menghadapi saat kontroversi dan mencabar."
-Martin Luther King Jr.-

Masalahku hanyalah satu, yakni masalah komunikasi. Bahasa Inggeris. Pada zaman persekolahan dulu, akulah yang paling lantang bersuara apabila diajak berbicara tentang penggunaan bahasa Inggeris di dalam pembelajaran Sains dan Matematik. Ku katakan bahasa ini bahasa penjajah, bahasa mereka yang telah merosakkan pemikiran bangsa Melayu. Alangkah rugi diriku sebenarnya kerana pernah memiliki pemikiran sesempit itu. Aku bukanlah insan yang tidak pandai berkata-kata. Sekiranya diberi peluang, aku boleh menjadi Anwar Ibrahim kedua, lantang bersuara membela hak rakyat. Tetapi hanyalah dengan berbahasa Melayu. Namun, apabila berkaitan dengan bahasa Inggeris, aku menjadi kaku dan pegun. Mindaku kosong.

Alangkah tidak bernasib baiknya diriku ini kerana berhadapan dengan situasi ini tatkala umurku sudah melangkau 18 tahun. Inilah kali pertama aku hidup dalam kalangan insan bukan Melayu. Inilah juga kali pertama aku harus hidup dalam suasana kehidupan yang menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar. Di SKTSG, Semerbak dan TGB, semuanya merupakan komuniti bangsa Melayu. Di TUC inilah kali pertama aku berhadapan dengan komuniti bukan Melayu. Melayu bukanlah lemah, tetapi kurang keyakinan diri. Melayu bukanlah bodoh tetapi malu tidak bertempat.

Sudah tiba masanya untuk aku berubah menjadi insan yang mampu untuk mengadaptasikan kelemahan diri menjadi suatu kelebihan. Dapat menyesuaikan diri mengikut keadaan. Azamku untuk bulan kedua dan seterusnya kehidupanku di TUC, memperbaiki bahasa Inggerisku dan berusaha mencapai kejayaan di dunia dan di akhirat.

"Allah tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum kecuali kaum itu sendiri yang mengubah nasibnya."
-Surah Ar-Ra'ad: 11-

"Dan jikalau Allah melapangkan rezeki kepada hamba-hambanya, tentulah mereka akan melampaui batas di muka bumi, tetapi Allah menurunkan apa yang dikehendaki-Nya dengan ukuran.
-Surah As-Syura: 27-