Sunday, August 31, 2008

Antara Hadirnya Ramadhan dan Kecundangnya Insan

Ramadhan tiba lagi. Syukur ke hadrat Ilahi kerana dengan limpah kurnia-Nya masih memberikan kita nyawa untuk menyambut Ramadhan pada kali ini. Sayu rasanya hatiku bila mengenangkan segala yang telah terjadi sepanjang tahun ini. Telah banyak dosa yang telah aku lakukan. Dan di dalam kesempatan Ramadhan Al-Mubarak ini diharap dapat menebus kembali salah dan silap yang pernah aku lakukan sebelum ini. Hanya Engkau yang Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani.

Abu Hurairah menyatakan: Telah bersabda Rasulullah SAW yang bermaksud: Apabila telah tibanya Ramadhan, dibuka pintu-pintu syurga dan ditutup segala pintu neraka dan diikat segala syaitan.
-Riwayat Imam Bukhari, Muslim, Nasai'e, Ahmad dan Baihaqi-

Daripada Abu Hurairah daripada Rasulullah S.A.W telah bersabda yang bermaksud: Sesiapa yang berpuasa Ramadhan dengan penuh keimanan dan keikhlasan nescaya akan diampuninya segala dosanya yang telah lalu.

-Riwayat Imam Nasai'e, Ibn majah, Ibn Habban dan Baihaqi-

Di dalam kesempatan ini, diriku ingin berbicara mengenai kecundangnya manusia disebabkan cinta. Pada sabtu yang lepas, MRSM Jasin/TGB telah mengadakan reunion yang dihadiri hampir 200 orang bekas pelajar tingkatan 5 2008. Majlis berjalan agak tidak teratur tetapi masih menarik kerana dapat bertemu dengan teman-teman lama yang sudah agak lama tidak bertemu. Semuanya sudah membawa haluan masing-masing.

Hampir 1 daripada 3 teman lama yang aku temu sudah mempunyai hubungan istimewa dengan insan berlawanan jenis. Aku doakan kebahagiaan mereka dan hubungan mereka akan berakhir dengan ikatan perkahwinan. Namun apa yang menjadi isu dalam perkara ini ialah hilangnya jati diri mereka apabila bercinta. Mereka telah melupakan janji-janji mereka tatkala di sekolah dulu. Aku agak sedih apabila rakan seperjuangan merangkap rakan sekelas aku di Jasin dulu telah berubah. Mereka tidak lagi segan silu berpegangan tangan di khalayak umum. Bukankah mereka tahu akan hukumnya?

Mungkin mereka akan membalas hujah aku dengan mengatakan bahawa aku belum pernah bercinta, tidak tahu bagaimana. Benar tetapi aku hanya ingin ingat-memperingati sesama kita sekiranya ada di antara kita yang terlupa. Bagiku, hanya isteri yang sah layak mendapat keistimewaan berpegangan tangan dan yang seumpamanya. Bagi wanita, mereka wajib untuk menjaga kesucian mereka daripada dikotori oleh mana-mana lelaki sebelum mereka berkahwin. Aku memohon kepada hadrat Ilahi agar teman-temanku ini diberi petunjuk dan hidayah Allah SWT bahawa apa yang telah mereka lakukan adalah salah.

Saturday, August 23, 2008

Konsep Cinta Sebenar

“Syair Arab menyebut, apabila seseorang yang
bercinta di tanya, “Apakah kau menyintai atau
sedang bercinta dengannya?”, maka
dijawabnya, “Oh, tidak…kawan sahaja atau apa
sahaja alasannya,” Ketahuilah dia seorang
pasangan KAZZAB (penipu)”
______________________________________

“…Rasa hormat adalah asas penting menjalin
hubungan cinta yang suci sesuai dengan aturan
Allah swt. Hormat kepada perintah Allah, ajaran
Rasul serta hormat ke atas hak dan maruah di
antara pasangan amat dititik beratkan ke arah
satu hubungan yang berkekalan.

Seorang lelaki yang jujur terhadap cinta dan kasih

sayang yang terjalin terhadap seorang wanita
tidak sewenang-wenangnya menyentuh tangan
wanita atau memegang erat tubuhnya. Wanita
bukannya objek yang boleh diperalatkan.

Jika ini terjadi, seorang wanita perlu berfikir,
apakah pasangan seperti ini mampu melindungi
dan menjaga maruahnya apabila berkahwin
nanti?

Jika hari ini haknya tergadai kerana seorang yang
dinamakan kekasih, apa kesudahan yang bakal
berlaku satu hari nanti?…”
______________________________________

Istilah cinta amat popular dan menjadi satu
ungkapan setia di bibir-bibir remaja yang
menganggapnya satu kalimah suci dan bererti.

Ada yang berbangga memiliki seorang kekasih
yang setia dan mula memasang angan-angan
untuk mendirikan rumah tangga bersama
pasangan pilihan.

Fanomena ini berlanjutan dari bangku sekolah
lagi malah adakalanya membawa kepada
sesuatu di luar jangkauan

Cinta perlu
difahami. Semestinya seorang remaja
perlu memahami kehendak dan definisi yang
tepat.

Tanya pada diri, sama ada cinta hanya sekadar
gelojak perasaan serta rasa tertarik antara satu
sama lain cukup untuk menjelaskan maksudnya?

Di dalam artikel bertajuk Hakikat Percintaan
Dalam Islam, rasa hati yang dinamakan cinta
merupakan satu perasaan yang semulajadi di
alami oleh setiap insan baik muda mahupun tua.

Allah telah menganugerahkan manusia naluri
untuk meneruskan keturunan (salah satunya,
menyukai pasangan berlainan jantina) atau
dikenali dengan gharizah Al-Nau’.

Ini merupakan salah satu naluri manusia dari yang
tiga iaitu gharizah Al-baqa’ (naluri untuk
meneruskan kehidupan dan mempertahankan),
gharizah Al-Tadayyun (naluri untuk menyembah
dan beragama) dan gharizah Al-Nau’.

Jadi adanya perasaan itu sememangnya sudah
fitrah manusia dan perkara ini wajar dan tidak
haram di
sisi Islam.

Dalam keadaan ini, manusia perlu memahami
kedudukan cintanya dan ke mana hala tuju
seterusnya.

Malangnya remaja hilang punca dan meletakkan
satu kesimpulan yang mudah tentang hakikat
cinta.

Cinta perlu difahami sebagai satu rasa kasih
sayang yang penuh rasa hormat, tanggungjawab,
kesetiaan, komitmen, keikhlasan, bermaruah dan
ada matlamat.

Jika ciri-ciri ini tidak ada dalam apa yang
dikatakan sebagai cinta, maka hubungan
sedemikian sekadar satu permainan dan kepura-
puraan sahaja.

Konsep cinta dalam Islam meletakkan satu aturan
yang sistematik dan teratur tanpa mengabaikan
hubungan antara manusia dan Allah.

Atas dasar ini, Islam meletakkan cinta pada satu
kedudukan yang bermaruah dan bernilai baik bagi
pihak lelaki dan perempuan.

Ke mana hala tujunya destinasi cinta remaja?
Adakah setakat mengisi usia remaja dan
adakalanya putus di tengah
jalan?

Mungkin destinasi cinta remaja yang diingini lebih
kepada konsep ala Barat yang disifatkan penuh
romantis dan indah.

Mulianya cinta berlandaskan Islam kerana cinta
yang dibina bermatlamat. Kerana ingin mendapat
kasih sayang tuhan, manusia sedia berkongsi
rasa cinta dan kasih sayang sesama insan.

Kerana inginkan kasih sayang tuhan jualah,
masing-masing ingin selamat-menyelamatkan
antara satu sama lain dari segi hubungan dan
kehidupan di dunia untuk mengejar sesuatu yang
abadi di akhirat.

Cinta yang dibina bukan cinta kosong tetapi cinta
yang punya pengertian yang luhur dan hanya
dapat dirasakan dengan jiwa yang bersih yang
sentiasa mencari tuhan

Saturday, August 16, 2008

Sya'ban, bulan Rasulullah SAW

Salam muhibbah pembuka kata,
Harap berbahagia kita bersama,
Bulan Rasulullah meninggalkan kita,
Ramadhan Al-Mubarak kian menjelma.

Masya Allah. Dalam tempoh dua minggu lagi kita akan bertemu dengan Ramadhan Al-Mubarak. Subhanallah. Semoga Allah memanjangkan umur kita agar kita dapat menjalani bulan Ramadhan dengan penuh hikmah. Insya Allah.

Sayu rasanya hati bila memikirkan tentang diri ini. Sepanjang tempoh setahun selepas berakhirnya Ramadhan tahun yang sudah, tidak terkira rasanye dosa yang sudah dilakukan. Hanya pengampunan dari-Mu Tuhan yang aku harapkan. Semoga bulan penuh keberkatan ini menjadi titik tamat kepada segala kemungkaran yang pernah aku lakukan sebelum ini dan permulaan kepada segala amal sama ada yang fardhu atau pun sunat yang sering kali diriku yang hina lagi keji ini pernah tinggalkan sama ada secara sengaja atau pun tidak. Astaghfirullah.

Ramadhan kali ini ku harapkan akan membawa seribu pengertian yang akan mengubah diriku ke arah yang lebih baik. Aku memohon pengampunan dari-Mu Tuhan dalam menjalani bulan penuh makna ini. Semoga amalanku pada tahun yang sudah dapat diteruskan dengan jayanya pada tahun ini. Khatam Al-Quran sekurang-kurangnya sekali, tidak terlepas solat sunat Tarawikh walaupun sehari, mengerjakan solat sunat tahajjud pada setiap dini hari, tidak terlepas bersahur walaupun sehari dan yang paling utama dapat mengerjakan ibadah puasa dalam bulan Ramadhan dengan sempurna selama 30 hari. Semoga Allah SWT memberikanku kekuatan dari segi rohani dan jasmani untuk mengerjakan semua amal ini. Insya Allah.

Dengan peluang yang ada di sini, ingin diri ini menyentuh isu mengenai nisfu Sya'ban. Tertakluk di dalam kategori bid'ah kepada sesiapa yang mengerjakan solat sunat malam nisfu Sya'ban. Maka kita tidak patut melakukannya. Walau bagaimanapun, kita digalakkan untuk mengerjakan solat sunat seperti solat sunat tahajjud, witir, istikharah, hajat dan tasbih.

Selain itu, di sini juga ingin ditekankan bahawa Rasulullah SAW tidak pernah secara khusus menyatakan bahawa 15 Sya'ban sebagai hari yang disunatkan berpuasa. Namun Baginda SAW telah berpuasa sebanyak mungkin pada bulan Sya'ban yang digelar bulan Rasulullah SAW seperti yang dinyatakan oleh Aisyah RA:

"Aku tidak pernah melihat Nabi SAW berpuasa sepanjang bulan kecuali pada bulan Ramadhan. Aku juga tidak pernah melihat Baginda berpuasa secara kerap di dalam bulan lain kecuali di dalam bulan Sya'ban"
-Sahîh Bukhari dan Muslim-