Friday, August 15, 2008

TUC dan kisah hidupku...

Salam pendahulu kata. Sebulan sudah berlalu ketika pertama kali aku menjejakkan kakiku ke TUC. Tatkala ini, pandanganku terhadap TUC masih lagi kabur. Walaupun keadaan semuanya boleh dikatakan memuaskan; penempatan pelajar, rakan serumah, rakan sekelas, makanan dan sebagainya, namun aku harus mengakui bahawa sukar untukku menyesuaikan diri dalam situasi yang amat asing bagiku ini. Bagiku, sudah tiba masanya untuk diriku berubah bukan mengikut keadaan dan bukan lagi mnyesuaikan diri...

Aku datang ke TUC dengan membawa reputasi tinggi. Dengan azam yang membara, aku ingin mengekalkan kecemerlangan yang pernah aku lakarkan di Semerbak dan TGB. Dengan jangkaan tinggi dan harapan besar yang terpikul di atas bahuku, aku memulakan hidup baru di TUC. Namun sejarah mengatakan bahawa setiap insan yang berjaya pasti pernah atau akan bertemu dengan saat di mana dia menghadapi kesusahan dan kegagalan. Aku yakin bahawa inilah masanya aku berhadapan dengan situasi kesusahan dan kegagalan tersebut.

"Ukuran sebenar seorang lelaki bukanlah bagaimana dia menghadapi situasi senang dan selesa tetapi bagaimana dia berdiri semasa menghadapi saat kontroversi dan mencabar."
-Martin Luther King Jr.-

Masalahku hanyalah satu, yakni masalah komunikasi. Bahasa Inggeris. Pada zaman persekolahan dulu, akulah yang paling lantang bersuara apabila diajak berbicara tentang penggunaan bahasa Inggeris di dalam pembelajaran Sains dan Matematik. Ku katakan bahasa ini bahasa penjajah, bahasa mereka yang telah merosakkan pemikiran bangsa Melayu. Alangkah rugi diriku sebenarnya kerana pernah memiliki pemikiran sesempit itu. Aku bukanlah insan yang tidak pandai berkata-kata. Sekiranya diberi peluang, aku boleh menjadi Anwar Ibrahim kedua, lantang bersuara membela hak rakyat. Tetapi hanyalah dengan berbahasa Melayu. Namun, apabila berkaitan dengan bahasa Inggeris, aku menjadi kaku dan pegun. Mindaku kosong.

Alangkah tidak bernasib baiknya diriku ini kerana berhadapan dengan situasi ini tatkala umurku sudah melangkau 18 tahun. Inilah kali pertama aku hidup dalam kalangan insan bukan Melayu. Inilah juga kali pertama aku harus hidup dalam suasana kehidupan yang menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar. Di SKTSG, Semerbak dan TGB, semuanya merupakan komuniti bangsa Melayu. Di TUC inilah kali pertama aku berhadapan dengan komuniti bukan Melayu. Melayu bukanlah lemah, tetapi kurang keyakinan diri. Melayu bukanlah bodoh tetapi malu tidak bertempat.

Sudah tiba masanya untuk aku berubah menjadi insan yang mampu untuk mengadaptasikan kelemahan diri menjadi suatu kelebihan. Dapat menyesuaikan diri mengikut keadaan. Azamku untuk bulan kedua dan seterusnya kehidupanku di TUC, memperbaiki bahasa Inggerisku dan berusaha mencapai kejayaan di dunia dan di akhirat.

"Allah tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum kecuali kaum itu sendiri yang mengubah nasibnya."
-Surah Ar-Ra'ad: 11-

"Dan jikalau Allah melapangkan rezeki kepada hamba-hambanya, tentulah mereka akan melampaui batas di muka bumi, tetapi Allah menurunkan apa yang dikehendaki-Nya dengan ukuran.
-Surah As-Syura: 27-


1 comment:

ultimateSyafiqah said...

btol2..
kite kne tingkatkn diri
especially dlm english usage
kalo tak nak orang luar(foreigner)
pandang rendah kat org melayu..